Salam Sejahtera
Ada nikmat di sebalik kebutaan. Kenapakah? Siapakah? Nanti saya jelaskan kejap lagi.
Hari ini hari Khamis dan saya belajar satu pengajaran dari seorang buta yang bertongkat. Siapakah beliau? Adakah beliau seorang buta yang terkenal di kaca televisyen memberikan ceramah-ceramah motivasi ataupun seorang yang terkenal kerana mampu memukau para penonton dengan suara nyanyian yang menakjubkan? Bukan....bukan...bukan...
Beliau merupakan seorang yang biasa. Saya sendiri tak kenal namanya dan sudah pasti beliau tidak kenal nama saya mengikut logik akal manusia. Tapi apa yang pasti beliau berbangsa Czech dan mungkin tidak tahu pun berbahasa Inggeris tapi ada sesuatu yang menyentuh hati saya berkenaan Pakcik Buta ini.
Petang lepas kelas Bahasa Czech hari Khamis yang berakhir 5.10 petang, seperti biasa saya akan menaiki tram balik ke I.P. Pavlova sambil mengejar waktu untuk menunaikan solat Asar. Semasa menunggu di tepi hentian tram untuk melintas jalan, tiba-tiba saya dilanggar oleh seorang lelaki yang tak saya kenali dan itulah Pakcik Buta yang saya sebutkan tadi. Memang silap saya kerana gagal untuk menyedari kehadiran beliau kerana bunyi muzik yang sangat kuat dari headphone mendendangkan lagu Taio Cruz, Pakcik Buta itu hampir-hampir sahaja terjatuh ke landasan Tram sedangkan ada Tram yang sedang bergerak menghampiri.
Entah kenapa, saya kaku tak tergerak dan mujurlah ada Pakcik tu dapat menyeimbangkan badannya untuk mengelakkan terjatuh. Dan apa yang membuatkan hati saya bergetar ialah apabila mendengar perkataan ini dari mulut Pakcik Buta itu
"Promin, promin" (Maafkan saya)
Betapa teruknya saya dengan dunia saya dan hampir-hampir menyebabkan sesuatu yang buruk berlaku ke atas orang sepertinya. Dan ini membuatkan saya terfikir, adakah saya bersyukur dengan nikmat mata yang mampu melihat yang ada pada saya namun tiada pada Pakcik Buta itu? Adakah saya seorang yang bersyukur dengan nikmat pandangan bila mana saya melihat benda-benda mungkar ataupun meniru di dalam ujian mahupun peperiksaan (seandainya). Ataupun adakah saya bersyukur dengan nikmat ini sekiranya saya jarang melihat kalimah-kalimah suci yang tercatat di Mashaf Al-Quran?
Dunia Seorang Insan Buta pastinya gelap tapi bukankah Kubur itu gelap juga? Dalam kebutaan ada nikmat bagi mereka yang beriman (sekiranya dia buta, jangan pula kita cucuk mata sampai buta macam Kassim Selamat dalam Cerita P. Ramlee Ibu Mertuaku tu)...kita selalu dengar ramai orang buta yang Hafiz Al-Quran dan satu perkara penting, mata mereka terpelihara dari melihat perkara-perkara mungkar lantas menjaga Ilmu Al-Quran di dalam ingatan mereka. Benar mereka buta pandangan, tapi hati mereka tidak buta. Inilah yang berada di dalam benak fikiran saya sejak peristiwa yang berlaku petang tadi dan semacam ada sesuatu yang menyesakkan dada dan membuatkan saya macam nak menangis.
Semoga Allah memberikan hidayah kepada Pakcik Buta yang memberikan pengajaran kepada saya itu. Dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang berpunca dari mata yang tak terjaga pandangannya. Dan semoga Allah tidak meletakkan saya ke dalam golongan hamba-Nya yang tidak bersyukur
Sekadar hiasan
Wassalam
No comments:
Post a Comment
Sebarang masalah?