Komrad

Jun 16, 2011

Gerhana Bulan? Insafkah kita?

Assalamualaikum WBT

Salam 1 Dunia

Dunia dua tiga hari ini memang serabut. Dengan gempa bumi di sana-sini, tunjuk perasaan seumpama perhimpunan mingguan sekolah, harga minyak turun dan naik di luar jangka, bunuh-membunuh dan macam-macam lagi petanda akhir zaman. Dan di tengah-tengah kesibukan marhaen di Malaysia memikirkan soal penggodam laman-laman sesawang secara berleluasa lewat hari semalam dan kalutnya golongan politikus akan soalnya himpunan marhaen dalam Bersih 2.0, muncul pula satu gerhana bulan yang kelihatan hampir di seluruh dunia kecuali Amerika Utara.

Diberitakan, gerhana ini merupakan antara gerhana bulan yang paling lama fasa kejadiannya. Dan saya sempat juga lah melihatnya secara livestream menerusi Channel UStream dan memang benar, ianya agak lama. Dan tatkala melihat laman-laman seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, memang ramai yang meletakkan status yang berkaitan dengan gerhana. Ada yang mengatakan cantiknya bulan merah, agungnya kekuasaan Tuhan dan tidak kurang yang mengajak melakukan solat sunat Gerhana.

Dan saya kemudian terfikir, dalam ramai-ramai yang letak status semacam itu, berapa ramai yang memuhasabah diri sendiri dan insaf akan melihat kejadian gerhana bulan. Berapa ramai yang akan mengaitkan rentetan satu persatu kejadian bencana alam, gerhana, kerosakan akhlak dan usia bumi yang ibarat wanita yang bongkok tiga di zaman Baginda Muhammad SAW dahulu yang sudah pasti kini tenat menanti maut. Berapa ramai? Ini hanya satu retorik yang saya ingin bangkitkan dan tanyalah diri masing-masing sekiranya anda terbaca tulisan saya ini.

Rasulullah takut.

Dalam satu riwayat, Abu Musa berkata, "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW pun berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, tidak pernah aku melihat Baginda SAW melakukan perkara seperti itu."

Nah, itu Rasulullah SAW. Seorang yang dijamin syurga oleh Allah dan sentiasa berhubung dengan Allah Rabbul Jalil. Namun, masih lagi takut dan bimbang akan berlakunya kiamat beberapa ketika selepas gerhana. Bagaimana dengan kita? Saya masih ingat lagi ketika masih lagi di Kolej Mara Seremban dan berkesempatan untuk menghadiri kuliyyah bersama Al-Musnid Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki Al-Rembawi dan kebetulan pada malam itu berlakunya gerhana bulan. Beliau memendekkan syarahan kitab beliau bagi memberikan laluan untuk solat sunat gerhana. Dan saya juga masih ingat bagaimana Imam pada malam itu membaca Surah Al-Baqarah pada rakaat pertama dan Surah Ali Imran pada rakaat kedua dengan tangisan yang meruntun jiwa.

Subhanallah, ketahuilah Kiamat itu pasti. Lagi-lagi di zaman fitnah dan berlakunya banyak kerosakan dan bencana alam ini, seharusnyalah kita insaf dan kembali ke pangkal jalan. Tapi bergurulah dengan ulama yang sepatutnya. Bukan hanya melaungkan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah semata-mata tanpa penilaian dari orang yang berkeahlian. Maka timbullah golongan zahiran (literalist) yang hanya mengambil Al-Quran dan Sunnah secara melulu tanpa mempelajarinya dan kemudian disebarkan pula kepada orang lain yang menyangka itulah kebenaran.

Antara beberapa screenshot yang sempat saya ambil:
16/06/2011 03:22 AM (Waktu Malaysia)
16/06/2011 03:27 AM (Waktu Malaysia)

Sekian sahaja tulisan saya kali ini, harap bermanfaat kepada orang yang membacanya. Mohon maaf sekiranya menyinggung mana-mana pihak.

Al-Faqir Ilallah Ahmad Safwan bin Idrus As-Sabahi
Legerova, Prague.

No comments:

Post a Comment

Sebarang masalah?