Komrad

Aug 31, 2011

Perutusan Khas Hari Raya Aidil Fitri dan Merdeka 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1 Malaysia

Saya, Ahmad Safwan bin Idrus selaku salah seorang warganegara Malaysia dengan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan sekaligus Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-54 kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira di mana anda berada.

Sebagai anak yang dilahirkan era pasca kemerdekaan, pastinya kebanyakan dari kita tidak pernah merasai jerih peritnya perjuangan yang dihadapi oleh generasi terdahulu dalam kecekalan mereka menuntut kemerdekaan. Bayangngkan bagaimana suasana Hari Raya Aidil Fitri yang dilalui oleh mereka yang ketika itu berada itu di bawah cengkaman Tentera Imperialis Jepun contohnya. Pastinya jauh beza dengan kita pada hari ini.

Berbeza dengan beberapa negara bergolak seperti Afghanistan, Iraq dan Palestin misalnya yang di atas kertas merupakan negara merdeka, namun hakikatnya mereka terjajah di negara sendiri. Bandingkan dengan kita di Malaysia memang jauh bezanya. Dengan wujudnya campur tangan luar, mereka dilagakan sesama sendiri sama seperti apa yang pernah di negara kita suatu ketika dahulu. Akhirnya, maruah negara tergadai, rakyat menderita dan melarat. 

Lain pula ceritanya dengan keadaan seperti di Somalia yang sedang menghadapi krisis kebuluran dan kemanusiaan yang sangat menyayat hati. Bayangkan bagaimana mereka menyambut Aidil Fitri dengan suasana sedemikian. Ditambah dengan perang saudara yang tiada kesudahan

Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak supaya bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh di negara bertuah ini. Pertahankanlah keamanan yang kita kecapi dengan bersatu padu sesama kita. Tidak salah berpolitik dan berbeza pendapat tapi jangan sampai tergadai sebuah negara. Sesungguhnya saya selaku warganegara yang mencintai negara kelahiran saya amat sedih melihatkan keadaan dan situasi politik masa kini yang dipenuhi dengan fitnah, serangan peribadi dan segala macam kekotoran.

Di samping itu, saya juga ingin menyeru kepada seluruh pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dalam pemanduan. Saban hari, kita disajikan dengan berita kemalangan jalan raya yang menyayat hati, merenggut nyawa mangsa tidak kira jenis kenderaan. Lebih memilukan jika ramai nyawa yang terkorban terutamanya dalam nahas yang melibatkan bas untuk perjalanan jarak jauh.

Tidak dilupakan, saya juga ingin menyeru kepada semua pihak agar menjaga kesihatan pada musim perayaan ini. Dengan juadah dan hidangan yang pelbagai yang sememangnya sedap dan lazat, berhati-hati juga dengan kandungan seperti kalori, kolestrol dan gula dalam setiap juadah yang kita makan. Nasihat saya, bersederhanalah dalam menikmati juadah Hari Raya.

Akhir kata, selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin serta selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-54.


Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments:

Post a Comment

Sebarang masalah?