Komrad

Sep 2, 2011

Kelas Bahasa Sabah Bersama Abang Safwan: Permainan

Assalamualaikum WBT

Salam 4 Syawal 1432 H

Baiklah adik-adik sekelian, untuk kali ini Abang Safwan akan cerita tentang permainan-permainan yang Abang Safwan pernah main waktu kecik-kecik dulu. Seperti biasa, biasala dah tempat lain maka namanya pun lain la dari yang di Semenanjung dan berkemungkinan juga di Sabah sendiri. Maklum sajala, Sabah ni besar. Pastu macam-macam suku kaum ada. Check it out!

1. Main jadi-jadi / bubut-bubut
Permainan ni lebih dikenali sebagai main kejar-kejar dalam masyarakat Semenanjung. Cukup mudah. Juga dikenali dalam masyarakat Sabah sebagai main bubut-bubut yang berasal dari perkataan Berunai iaitu kejar-kejar. Perlukan sekurang-kurangnya 3 orang untuk bermain. Kalau dua orang memang susah la nak main. Lagi ramai lagi bagus. Seorang pemain akan "JADI" dan terpaksa mengejar pemain-pemain lain dan menyentuh sesiapa yang bernasib malang untuk "JADI". Untuk mengelakkan keletihan yang melampau, biasanya penganjur akan mengwujudkan peraturan "PEK". Perkataan ini dipercayai berasal dari perkataan Bahasa Inggeris iaitu "PEACE". Jadi mana-mana pemain yang keletihan boleh la mengatakan "PEK" sambil membuat isyarat jari Peace (bentuk V) dan dikira "inactive". Pemain yang "PEK" hanya boleh kembali berlari selepas diselamatkan oleh pemain lain yang akan menyentuhnya sambil menyebut "SEP" berasal dari perkataan "SAVE"

2. Main tapuk-tapuk
Permainan ini lebih dikenali sebagai main sorok-sorok di Semenanjung dan seperti permainan jadi-jadi, perlukan sekurang-kurangnya 3 orang. Seorang yang bernasib malang akan terpaksa mengira di dinding ataupun tiang sambil menutup mata. Pemain lain akan menyorokkan diri ataupun bertapuk (Bahasa berunai bermaksud menyorok) di mana-mana tempat yang masih dalam lingkungan kawasan yang dipersetujui. Biasanya main tapuk-tapuk mempunyai 2 format yang diterima pakai iaitu:
  • Siapa yang dijumpai mula-mula sekali dia akan jadi orang yang akan mencari dalam pusingan seterusnya.
  • Sekiranya dijumpai, pemain akan terpaksa bersaing dengan orang yang mencari/menjumpainya untuk "SEP/SAVE" menepuk dinding atau tiang tempat mengira tadi. Biasanya format ini lebih mencabar dan menyeronokkan.
 3. Main batu
Permainan ini lebih kurang seperti batu seremban. Uniknya ianya hanya memerlukan 5 biji batu. Sangat menarik dan menyeronokkan. (Ulasan pendek pasal susah nak terangkan)

4. Main tapak
Permainan ini Abang Safwan pun tak tau ada ke tak kat Semenanjung. Tapi sangat menyeronokkan. Bila sudah sampai musim gila main tapak, biasanya para kanak-kanak akan berkunjung ke kedai-kedai dan pasar untuk membeli tapak, sejenis kad kecil yang berbentuk 4 segi tepat. Untuk memainkannya, pemain akan meletakkan satu "timbunan" tapak di atas lantai dan cuba untuk menerbalikkannya dengan menggunakan kekuatan angin yang terhasil dari tepakan tangan. Biasanya, akan menyebabkan bengkak di bawah ibu jari, tapi sangat menyeronokkan.

Demo bermain tapak. Kredit gambar dari Blog Kadusville
5. Main engkek-engkek
Permainan ini lebih dikenali sebagai permainan ting-ting/teng-teng dalam masyarakat lain. Beberapa petak akan dilukis di atas tanah/lantai. Pemain akan memilih buah untuk menjadi tanda untuk dilontar ke petak tertentu. Pemain lain tidak boleh memijak buah pemain lain. Engkek-engkek dipercayai bermaksud lompat kerana permainan ini sememangnya memerlukan aktiviti melompat yang aktif.

Main engkek-engkek. Kredit gambar dari Blog Keren
__________________________________________________________________________________

Itu sahajalah Kelas Bahasa Sabah Bersama Abang Safwan untuk kali ini. Serius bila teringat balik permainan ni sangat rindu dengan kehidupan masa kecil dulu. Bukan macam budak sekarang lahir-lahir dah nampak PSP, iPad, NDS dan macam-macam lagi. Tak mencabar minda dan fizikal langsung. Sekiranya ada sebarang bolehla diutarakan terus kepada Abang Safwan melalui ruangan komen mahupun shoutbox.

Sekian, selamat berhari raya semua.

No comments:

Post a Comment

Sebarang masalah?