Komrad

Jan 9, 2011

Misi Memartabatkan Karipap ke Seluruh Pelusuk Alam


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Karipap? Apa itu karipap? Soalan retorik ini tidak perlukan jawapan kerana rata-rata malah hampir kesemua homo sapiens di Malaysia termasuklah golongan homoseksual mengetahui apakah itu karipap.

Menurut pakar sejarah Karipap terkemuka Malaysia, Incek Wiki-ped-ya, sejarah karipap (dalam bahasa Inggeris Curry Puff) ini boleh dikesan dari tahun 1511 lagi berikutan kedatangan penjajah Portugis ke Melaka...dan mereka telah memperkenalkan sejenis makanan yang pelik kepada masyarakat Melayu Melaka iaitu Empanada yang kemudiannya berasimilasi dengan mulut lidah Melayu menjadi karipap atau epok-epok.
Menurut beliau lagi,
"Kuih karipap juga merupakan kuih rasmi dalam mesyuarat kerajaan atau pun swasta.Biasanya ia di sertakan dengan kopi dan teh o panas menyebabkan keadaan mesyuarat rasmi lebih ceria."

Err, majlis menjadi lebih ceria? Mungkin...

Karipap sedia untuk dimakan

Kembali kepada karipap, bahan utama untuk menghasilkan karipap teragung sepanjang zaman ialah tepung, air, gula, garam, minyak masakan, ubi kentang dan daging (tidak wajib ada)...dan menjadi kewajipan kepada para pembuat karipap ialah untuk tidak lupa menyertakan sekali kari ke dalam gaulan resepi karipap mereka. Adalah sangat menggelikan ketiak untuk memakan karipap tanpa kari kerana itu mungkinlah sekali kuih bahulu mahupun dunkin donuts (ini tidak berkaitan sama sekali, harap maklum) dengan pengecualian ke atas karipap ikan.

Pembahagian Karipap:

1. Karipap daging
Berintikan daging lembu atau daging apa sekalipun asalkan daging merah bersama dengan ubi kentang. Bagi yang inginkan kelainan, anda bolehlah menggunakan daging babi namun awas, mereka yang beragama Islam dilarang keras daripada mencuba aksi melampau ini.

Karipap daging

2. Karipap ayam
Dari namanya sendiri sudah terang lagi bersuluhkan spotlight karipap ini berintikan daging ayam dan kentang. Saya amat menggemari karipap ini.

Karipap ayam

3. Karipap ikan
Karipap ini juga dikenali dengan nama temosa namun tiada kena mengena dengan TERMOS mahupun A Famosa di Melaka. Intinya merupakan isi ikan yang digoreng bersama bawang dan isi kelapa muda. Lemak rasanya dan tidak pedas.

Karipap ikan / Temosa

4. Karipap sardin
Untuk menghasilkan karipap sardin, anda dinasihatkan untuk membeli ikan sardin dalam tin yang dijual di mana-mana kedai yang terdekat samada cap Ayam (yang macam Liverpool tu), cap King Cup dan pelbagai lagi. Adalah tidak dinasihatkan untuk turun ke laut untuk menangkap ikan sardin segar kerana ianya amat menyusahkan anda nanti. Kebanyakan karipap jenis ini dibuat berbentuk panjang ataupun bulat bagi membezakan dengan karipap jenis lain yang berbentuk D.

Karipap sardin (diambil dari laman web seperti yang tertera di dalam gambar)

5. Karipap pusing
Juga dikenali sebagai karipap putar. Bukanlah bermaksud anda akan pening kepala selepas memakan karipap ini sama seperti kepeningan selepas menaiki roller coaster. Tapi nama ini diberikan bersempena dengan corak pusingan/putaran yang terhasil pada kulit karipap akibat tindakan menggelek lapisan demi lapisan kulit karipap. Karipap ini biasanya lebih garing dan semakin digemari ramai kerana keunikannya itu.

Karipap pusing / putar

Itu merupakan antara jenis-jenis karipap yang terkenal di Malaysia buat masa ini. Tapi sesiapa yang berbakat dalam bidang seni dan berhasrat untuk mengasah bakat dalam bidang pembuatan karipap, anda amatlah dialu-alukan untuk mencuba bakat anda. Siapa tahu akan ada karipap jenis baru esok lusa ataupun tahun-tahun yang mendatang.

Akhir kata, saya ingin menyeru kepada sekelian umat Homo Sapiens terutamanya yang berbangsa Melayu agar tidak meminggirkan karipap dari ingatan perut kita dengan kebanjiran makanan segera luar negara seperti Keh-Ef-Si, Mek Donal, Piza Hat, Bik Epel dan macam-macam lagi. Hargailah makanan kita walaupun ia sendiri berasal dari barat namun telah diasimilasikan oleh mereka yang terdahulu agar serasi dengan budaya kita.

"Majulah Karipap Untuk Negara"




5 comments:

  1. rindu nk mkn karipap ke ape ni kehkeh

    ReplyDelete
  2. boleh bagi banyak maklumat lagi x tentang kuih karipap!!please.....

    ReplyDelete
  3. haha memang best la baca info ni hahaha... Aku gelak tahap homo sepien jadi nya hahahaha... Harap banyak lagi info seperti ini hahahahaha....

    ReplyDelete
  4. Jika teringin nak rasa Karipap Pusar Kluang... mehlah melawat FB https://www.facebook.com/karipappusarkluang atau blog http://karipappusarkluang.blogspot.com/ :)

    ReplyDelete
  5. Epok2 berbentuk mirip karipap tapi intinya adalah sayur sperti sengkuang, timun n taugeh. Dicecah dgn kuah lada.

    ReplyDelete

Sebarang masalah?